
KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Bahagaian Zakat Fitrah telah mengumumkan kadar zakat fitrah pada tahun ini bagi negeri Sabah.
Datuk Seri Panglima Dr. Haji Hasbullah bin Haji Mohd Taha berkata, "berdasarkan kepada situasi semasa ekoran penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) yang memberi kesan ke atas pendapatan umat Islam, Majlis Ugama Islam (MUIS) melalui Mesyuarat Kaedah Pelaksanaan Pembayaran Zakat Fitrah yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Bin Haji Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah pada 13 April 2020 telah menetapkan dua (2) kadar zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM6.00 ( Beras Putih Myanmar 15% Hancur ) bagi golongan yang terkesan dan RM7.50 ( Beras Putih Vietnam 5% Hancur ) bagi golongan yang kurang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan dan Wabak Covid-19."
Ini bertujuan bagi meringankan beban umat Islam untuk menunaikan kewajipan tersebut. Penetapan dua (2) kadar zakat fitrah ini adalah berdasarkan harga beras bagi 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh sebilangan besar masyarakat ( RM7.50 ) dan sebilangan kecil masyarakat ( RM6.00 ) di Negeri ini.
Hal ini juga adalah selari dengan Resolusi Muzakarah Khas Kali Ke-2 Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada 9 April 2020 melalui siaran langsung tele konferens. Muzakarah telah mengambil ketetapan bahawa :
Kaedah pembayaran zakat fitrah boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian di negeri masing-masing dengan mengambilkira peraturan Perintah Kawalan Pergerakan semasa.
Kadar zakat fitrah mengikut ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri. Walau bagaimanapun, jumlah bayaran yang perlu dibuat adalah bergantung kepada kemampuan pembayar dan ketua keluarga.
Umat Islam di Negeri Sabah boleh memilih untuk membayar antara dua (2) kadar tersebut berdasarkan kemampuan masing-masing.
Beliau juga menyeru kepada semua umat Islam, terutama ketua keluarga agar dapat melaksanakan pembayaran zakat fitrah melalui wakil-wakil amil yang bertauliah atau membayar secara dalam talian melalui saluran Perbankan Internet ( online banking ) dan Gerbang Pembayaran Atas Talian(online payment gateway ) seperti Snap N Pay, MYeG dan Boost kepada Majlis Ugama Islam Sabah.
Tekan pautan dibawah untuk melihat cara pembayaran.
Cara membayar Zakat Fitrah Sabah secara atas talian